Monday, May 10, 2021

RISIKO PERGIGIAN IBU MENGANDUNG

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan program pergigian khasnya untuk ibu mengandung di KKIA. Namun, tahukah anda akan kepentingan pemeriksaan pergigian? Apakah sebab disebaliknya? 

Terdapat ramai ibu mengandung yang masih tertanya-tanya dengan persoalan "mengandungkan bayi, tetapi kenapa mesti periksa gigi?" 

Semasa mengandung, perubahan hormon ibu akan menyebabkan gusi lebih terdedah kepada jangkitan, oleh itu penjagaan kebersihan mulut yang tidak terjaga ketika mengandung akan meningkatkan lagi risiko penyakit gigi. 

Risiko penyakit karies gigi (gigi lubang) tinggi kerana pengambilan makanan ketika mengandung pun meningkat terutamanya diet yang tidak sihat (manis). Kawasan permukaan gigi yang sering terjadinya karies adalah di celah-celah gigi, kawasan gigi yang berlapis dan permukaan gigi geraham. Tanda-tanda karies gigi seperti:

  • Perubahan warna gigi (bintik putih/hitam)
  • Lubang yang ketara 
  • Makanan mudah melekat pada permukaan gigi
  • Sakit & sengal minum panas/sejuk
* Rawatan karies gigi adalah tampalan
** Tetapi karies yang telah melibatkan bahagian pulpa (saraf dan saluran darah gigi) memerlukan rawatan akar gigi dan tampalan/corona sekiranya perlu

Terdapat penyakit gigi lain juga seperti pregnancy gingivitis (penyakit gusi bengkak). Perubahan hormon ketika mengandung akan menyebabkan gusi lebih sensitif terhadap plak dan bakteria dalam mulut. Gusi akan berwarna merah kebiruan, bengkak, berdarah (ketika makan, ketika berus gigi), mulut berbau dan/atau pregnancy epulis (gusi bengkak setempat) di gusi antara/celah-celah gigi. Terdapat kajian yang menunjukkan penyakit gusi yang dihidapi oleh ibu mengandung sering dikaitkan dengan kelahiran bayi yang pra-matang (kurang berat badan dan tidak cukup bulan).

* Penjagaan kebersihan mulut yang baik boleh mengurangkan risiko bengkak gusi
** Rawatan scaling (cuci gigi) untuk menanggalkan segala karang gigi yang terdapat dalam mulut


Alahan dan kerap muntah mengakibatkan gigi terdedah kepada asid perut menyebabkan dental erosion/abrasion (gigi menjadi haus dan terhakis). Asid perut yang dimuntahkan itu akan mengakibatkan kehilangan lapisan enamel dan dentin gigi (lapisan struktur gigi). Masalah ini akan menjadi lebih teruk sekiranya ibu mengandung memberus gigi sejurus selepas muntah. Antara masalah ekoran kehausan/hakisan gigi adalah:

  • Masalah kosmetik (paras rupa terjejas)
  • Gigi hipersensitif (gigi menjadi ngilu)
  • Gangguan kunyahan
  • Tanda dan gejala tisu pulpa (keradangan pulpa) - sekiranya teruk akan menyebabkan sakit gigi/jangkitan gigi
  • Gigi menjadi kekuningan, bersinar dan licin
  • Tampalan di permukaan gigi menjadi lebih menonjol daripada permukaan gigi sekelilingnya (terutamanya gigi depan)
* Elakkan memberus gigi sebaik sahaja muntah, bersihkan mulut dengan berkumur dan tunggu 30 minit sebelum memberus gigi
** Elakkan makanan/minuman yang akan menyebabkan alahan dan muntah
*** Rawatan sapuan fluorida/tampalan 

Jangan dipengaruhi kepercayaan karut! 

  • Bayi yang dikandungi tidak mengambil kalsium dari ibu dan merosakkan gigi ibunya
  • Ibu tidak akan kehilangan gigi setiap kali dia mengandung

  •