Tuesday, May 25, 2021

SOALAN LAZIM/FAQ IBU MENGANDUNG

1. Bilakah masa yang sesuai untuk mendapatkan rawatan pergigian?

Ibu sering dikaitkan dengan mitos "ibu akan kehilangan gigi setiap kali mengandung", ini hanyalah mitos dan perkara ini tidak akan terjadi sekiranya ibu-ibu mengandung mendapatkan rawatan pergigian secara berkala dan sentiasa menjaga kesihatan gigi mereka sepanjang kehamilan.

Trimester 1 (8-15 minggu) - Masa terbaik membuat pemeriksaan pergigian

Trimester 2 (16-27 minggu) - Masa terbaik mendapatkan rawatan pergigian

Trimester 3 (28-40 minggu) - TIDAK digalakkan untuk mendapatkan rawatan pergigian kecuali kes kecemasan


Sumber: Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Sembilan


2. Bolehkah saya membuat rawatan pergigian semasa hamil?

Ibu-ibu mengandung boleh mendapatkan rawatan pergigian sepanjang kehamilan tetapi masa terbaik adalah ketika trimester kedua (16-27 minggu).

*Sila rujuk soalan 1 serta gambar yang disertakan diatas


3.  Bagaimana menangani rasa loya dan muntah terutamanya ketika memberus gigi?

  • Makan makanan yang berkhasiat dalam jumlah yang sedikit pada satu-satu masa tetapi kerap
  • Kekerapan pengambilan snek dan minuman yang manis meningkatkan risko karies gigi. Pilih makanan yang kurang bergula, lemak dan garam
  • Gunakan berus gigi yang berkepala kecil dan lembut semasa memberus gigi
  • Elakkan memberus gigi sebaik sahaja muntah. Bersihkan mulut dengan berkumur. Tunggu 30 minit sebelum memberus

4. Adakah x-ray mulut selamat untuk bayi dalam rahim ketika mengandung?

Boleh kerana dos x-ray yang diberikan adalah selamat dan risiko adalah sangat kecil selagi dos terkumpul yang digunakan untuk xray ialah 5 rad (Bermaksud ibu mengandung boleh menerima beberapa kali x-ray sehingga maximum dos iaitu 5 rad).

*X-ray mulut hanya akan dilakukan selepas usia kehamilan melepasi trimester pertama jika perlu


5. Apakah kesan terhadap kandungan saya sekiranya saya makan ubat antibiotik yang diberikan oleh doktor gigi disebabkan gusi bengkak? 

Sekiranya gusi bengkak, sila dapatkan pemeriksaan/rawatan di klinik pergigian yang berdekatan. Doktor gigi akan memberikan ubat antibiotik yang selamat diberikan kepada ibu yang hamil sekiranya perlu.

 

6. Mengapakah gusi saya senang berdarah semasa mengandung?

Perubahan hormon ketika mengandung akan menyebabkan gusi lebih sensitif terhadap plak dan bakteria dalam mulut. Ini meningkatkan tindak balas saluran darah dalam gusi. Gusi juga mudah berdarah ketika berus gigi.


7. Benarkah tiap kali mengandung akan menyebabkan kehilangan gigi?

Ini adalah mitos. Kehilangan gigi boleh dicegah melalui:

  • Penjagaan kebersihan gigi yang baik
  • Pengawasan diet yang sihat
  • Berjumpa dengan doktor gigi dengan kadar segera apabila ada tanda-tanda kerosakan


8. Berapakah caj rawatan pergigian untuk ibu mengandung?

Semua ibu mengandung berhak untuk mendapat pemeriksaan gigi dan rawatan pergigian secara percuma di klinik pergigian kerajaan.


9. Adakah bayi dalam kandungan akan menyerap kalsium dari ibu?

Bayi memerlukan zat kalsium untuk pembentukan gigi mereka. Untuk pengetahuan, benih gigi bayi mula terbentuk seawal 6 minggu dalam kandungan ibu.


10. Apakah jenis makanan yang membekalkan zat kalsium? 

Kalsium boleh terdapat dalam produk tenusu, kekacang dan sayur hijau.



Tuesday, May 11, 2021

ADAKAH ANDA MENGHIDAP PENYAKIT GUSI?

Kesihatan gigi adalah amat penting untuk setiap individu terutama golongan ibu mengandung kerana perubahan hormon yang mereka alami. Keadaan ini mengundang risiko masalah gigi dan antaranya ialah PENYAKIT GUSI.

Penyakit gusi ialah jangkitan pada gusi dan tisu penyokong gigi. Ia terbahagi kepada 2 peringkat


Pada awalnya penyakit gusi ini hanya melibatkan tisu gusi (gingiva) yang dikenali sebagai Gingivitis. Tetapi sekiranya tidak mendapat rawatan pergigian, ia mungkin akan menjadi penyakit gusi (periodontium) yang lebih parah dan melibatkan tisu penyokong gigi - bahagian akar gigi dan tulang penyokong gigi, pada peringkat ini, ia menjadi Periodontitis.

 

Selain faktor perubahan hormon, terdapat beberapa faktor lain yang turut mengundang atau akan memudaratkan lagi keadaan gusi yang sememangnya kurang sihat. 
Penyebab utama penyakit gusi adalah plak gigi iaitu bakteria dan bahan yang lembut dan melekat di permukaan gigi/tampalan. Plak yang tidak dibersihkan akan mengeras dan menjadi karang gigi atau dikenali sebagai tartar (calculus)

Ramai orang yang tidar menyedari bahawa mereka mempunyai masalah gusi kerana kebanyakan penghidap penyakit gusi tidak mempunyai kesakitan. Awasilah tanda dan gelaja seperti:
  • Gusi menjadi merah dan bengkak
  • Gusi mudah berdarah terutamanya ketika memberus gigi/memflos gigi
  • Gusi mula menyusut dan bahagian akar gigi menonjol/gigi kelihatan panjang
  • Gigi mula rasa ngilu
  • Gusi disekeliling gigi bernanah
  • Nafas berbau (halithosis)
  • Gigi mulai longgar/goyang 
  •  

Risiko penyakit gusi ketika mengandung:
  1. Kajian telah menunjukkan bahawa ibu yang mempunyai masalah gusi lebih berisiko kepada kelahiran bayi pra-matang dan kurang berat badan 
    • Ini mungkin disebabkan oleh bakteria ibu yang masuk ke dalam saluran darah melalui gusi itu mengakibatkan pengecutan rahim dan kelahiran bayi yang tidak cukup bulan
  2. Masalah jantung
    • Apabila bakteria masuk ke saluran darah melalui gusi, bakteria boleh menjangkiti injap jantung (penyakit jantung rheumatik)

Nasihat untuk ibu mengandung...
  • Kesihatan ibu semasa mengandung perlu dijaga untuk melahirkan anak yang sihat. Pemakanan ibu semasa hamil mempengaruhi pembentukan bayi termasuk pembentukan mulut dan gigi. Pemakanan hendaklah mengandungi nutrien seperti:
    • Protein
    • Fosforus
    • Asid folik
    • Zat besi
    • Kalsium
    • Vitamin A, C, D
  • Ini meliputi penjagaan kesihatan pergigian yang baik. Mengabaikan kesihatan pergigian akan mendedahkan ibu kepada masalah pergigian seperti karies gigi/penyakit gusi
  • Penangguhan rawatan pergigian akan meningkatkan risiko masalah kesihatan terhadap ibu dan bayi dalam kandungan
  • Kebersihan mukut yang tidak dijaga semasa mengandung meningkatkan lagi risiko masalah gusi dan karies gigi




Program Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) dan Bahagian Pergigian Perkhidmatan Pergigian di Peringkat Primer dilaksanakan bagi menjaga kesihatan mulut ibu-ibu mengandung. Oleh itu, diharapkan ibu-ibu mengandung akan memanfaatkan program yang telah dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).



Monday, May 10, 2021

RISIKO PERGIGIAN IBU MENGANDUNG

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan program pergigian khasnya untuk ibu mengandung di KKIA. Namun, tahukah anda akan kepentingan pemeriksaan pergigian? Apakah sebab disebaliknya? 

Terdapat ramai ibu mengandung yang masih tertanya-tanya dengan persoalan "mengandungkan bayi, tetapi kenapa mesti periksa gigi?" 

Semasa mengandung, perubahan hormon ibu akan menyebabkan gusi lebih terdedah kepada jangkitan, oleh itu penjagaan kebersihan mulut yang tidak terjaga ketika mengandung akan meningkatkan lagi risiko penyakit gigi. 

Risiko penyakit karies gigi (gigi lubang) tinggi kerana pengambilan makanan ketika mengandung pun meningkat terutamanya diet yang tidak sihat (manis). Kawasan permukaan gigi yang sering terjadinya karies adalah di celah-celah gigi, kawasan gigi yang berlapis dan permukaan gigi geraham. Tanda-tanda karies gigi seperti:

  • Perubahan warna gigi (bintik putih/hitam)
  • Lubang yang ketara 
  • Makanan mudah melekat pada permukaan gigi
  • Sakit & sengal minum panas/sejuk
* Rawatan karies gigi adalah tampalan
** Tetapi karies yang telah melibatkan bahagian pulpa (saraf dan saluran darah gigi) memerlukan rawatan akar gigi dan tampalan/corona sekiranya perlu

Terdapat penyakit gigi lain juga seperti pregnancy gingivitis (penyakit gusi bengkak). Perubahan hormon ketika mengandung akan menyebabkan gusi lebih sensitif terhadap plak dan bakteria dalam mulut. Gusi akan berwarna merah kebiruan, bengkak, berdarah (ketika makan, ketika berus gigi), mulut berbau dan/atau pregnancy epulis (gusi bengkak setempat) di gusi antara/celah-celah gigi. Terdapat kajian yang menunjukkan penyakit gusi yang dihidapi oleh ibu mengandung sering dikaitkan dengan kelahiran bayi yang pra-matang (kurang berat badan dan tidak cukup bulan).

* Penjagaan kebersihan mulut yang baik boleh mengurangkan risiko bengkak gusi
** Rawatan scaling (cuci gigi) untuk menanggalkan segala karang gigi yang terdapat dalam mulut


Alahan dan kerap muntah mengakibatkan gigi terdedah kepada asid perut menyebabkan dental erosion/abrasion (gigi menjadi haus dan terhakis). Asid perut yang dimuntahkan itu akan mengakibatkan kehilangan lapisan enamel dan dentin gigi (lapisan struktur gigi). Masalah ini akan menjadi lebih teruk sekiranya ibu mengandung memberus gigi sejurus selepas muntah. Antara masalah ekoran kehausan/hakisan gigi adalah:

  • Masalah kosmetik (paras rupa terjejas)
  • Gigi hipersensitif (gigi menjadi ngilu)
  • Gangguan kunyahan
  • Tanda dan gejala tisu pulpa (keradangan pulpa) - sekiranya teruk akan menyebabkan sakit gigi/jangkitan gigi
  • Gigi menjadi kekuningan, bersinar dan licin
  • Tampalan di permukaan gigi menjadi lebih menonjol daripada permukaan gigi sekelilingnya (terutamanya gigi depan)
* Elakkan memberus gigi sebaik sahaja muntah, bersihkan mulut dengan berkumur dan tunggu 30 minit sebelum memberus gigi
** Elakkan makanan/minuman yang akan menyebabkan alahan dan muntah
*** Rawatan sapuan fluorida/tampalan 

Jangan dipengaruhi kepercayaan karut! 

  • Bayi yang dikandungi tidak mengambil kalsium dari ibu dan merosakkan gigi ibunya
  • Ibu tidak akan kehilangan gigi setiap kali dia mengandung

  •  

Sunday, May 9, 2021

INFO PENJAGAAN PERGIGIAN DALAM BUKU MERAH IBU MENGANDUNG

Buku merah yang diberikan kepada ibu mengandung bukan sahaja untuk merekodkan kesihatan ibu mengandung tetapi juga terdapat pelbagai info kesihatan yang bermanfaat untuk ibu, termasuklah info penjagaan kebersihan mulut yang terdapat pada muka surat 56. 


Penjagaan kesihatan pergigian ibu mengandung
  1. Berus gigi dua kali sehari (pagi dan malam sebelum tidur)
  2. Gunakan flos untuk membersihkan celah-celah gigi
  3. Pilih berus gigi yang lembut dan ubat gigi berfluorida
  4. Mendapatkan lawatan awal ke klinik pergigian untuk mencegah masalah pergigian
  5. Penjagaan diet makan yang sihat juga boleh membantu dalam mengatasi masalah pergigian. (Elakkan/kurangkan minuman berkarbohidrat/bergula, lebihkan minum air/susu)
  6. Sekiranya sering loya/muntah, elakkan memberus gigi sebaik sahaja muntah, bersihkan mulut dengan berkumur dan tunggu 30 minit sebelum memberus gigi



Saturday, May 8, 2021

BUKU MERAH/BUKU PINK DI KLINIK KESIHATAN IBU & ANAK

Hai! Untuk pengetahuan para ibu yang mengandung, terutama bagi yang pertama kali melahirkan cahaya mata, anda haruslah tahu tentang buku merah/buku pink ini. 



Ibu mengandung boleh mendapatkan buku merah/buku pink ini di Klinik Kesihatan Ibu & Anak (KKIA) yang berdekatan, seeloknya sebelum kandungan mencecah usia 12 minggu untuk mengelakkan "late booking". Peringatan kepada ibu juga bahawa buku ini wajib dibawa bersama pada setiap temujanji.

Banyak pemeriksaan yang akan dijalankan dan antaranya adalah pemeriksaan pergigian. Terdapat KKIA yang mempunyai kemudahan klinik pergigian. Setiap ibu mengandung yang datang ke KKIA tersebut akan diberi pemeriksaan gigi di situ. Manakala KKIA yang tidak mempunyai kemudahan tersebut akan dirujuk ke klinik pergigian yang berdekatan. Setelah mendapatkan pemeriksaan gigi, doktor gigi akan memberi nasihat/info mengenai penjagaan pergigian semasa mengandung. Dan sekiranya memerlukan rawatan, doktor gigi akan syorkan anda untuk mendapatkan rawatan pergigian di klinik pergigian yang terdekat.